Modul WISE 2022

Modul 1 
Pandangan ‘Alam Islām dan Cabaran Semasa

Perbahasan Cabaran Kaum Muslimin masa kini berkait dengan latar belakang sejarah pertembungan agama, kebudayaan dan tamadun di antara Barat dan Islām, sebab-sebab kemunduran pemikiran umat Islām masa kini dan kaedah penyelesaiannya, konsep-konsep penting dalam Islām yang berkait rapat dengan masalah kebudayaan, pendidikan, dan sains yang dihadapi oleh umat Islām masakini. Pandangan ‘Alam Islām yang meliputi unsur-unsur asasi seperti hakikat Tuhan, ‘alam semesta, wahyu, insan, ‘ilmu, agama, kebebasan, nilai dan budi-pekerti, dan kebahagiaan. Selanjutnya Pandangan ‘Alam Islām dalam konteks adab dan peradaban menjelaskan bagaimana Pandangan ‘Alam Islām itu berhasil menerbitkan komitmen yang tinggi terhadap prinsip kehidupan yang berteraskan Tawhid yang merupakan asas kepada kehidupan yang beradab.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 1)

Modul 2
Masalah Luaran Muslimin dan Ancaman Sekularisasi

Modul ini akan mengupas punca mengapa cabaran luaran kaum Muslimin datang dari tamadun Barat. Hakikat ‘Tamadun Barat’ dan ciri-ciri utamanya akan diberikan penta‘rifan. Penjelasan terhadap pertembungan Islām dengan Barat dalam bentuk agama sejagat; ketenteraan atau politik global; dan penjajahan ‘ilmu dan pendidikan. Kemudian ia akan menyorot ta‘rifan dan ma‘na sekularisasi sebagai program falsafah. Sekularisasi ‘alam tabi‘i dan sejarahnya di Barat akan diteliti semenjak zaman Yunani purba hingga ke masakini. Berlandaskan unsur tersebut, modul ini akan membahaskan pensekularan politik dan sekularisasi nilai yang menidakkan kewibawaan dan kemutlakan agama. Bagaimana Kristian Barat semasa menjawab permasalahan sekularisasi akan diselidiki untuk dijadikan i‘tibar.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 2)

Modul 3
Masalah Dalaman Kaum Muslimin: Kekeliruan Ilmu, Kehilangan Adab dan Pemimpin Palsu

Modul ini memperjelaskan masalah dalaman utama kaum Muslimin kini. Masalah dalaman ini adalah cabaran yang perlu dihadapi kaum Muslimin secara berhemah dan berasaskan kefahaman yang benar demi menjamin jatidiri yang Islāmi. Ia dimulakan dengan membicarakan masalah berkaitan kekeliruan ‘ilmu; kemudian, masalah kehilangan adab dan disiplin; dan disusuli dengan masalah kepimpinan palsu. Antara isu yang diketengahkan adalah seperti sikap anti-mazhab, anti-tasawwuf, penyempitan ‘ilmu Islāmi, dan salah-urus negara. Bagaimana masalah ini menyumbang kepada kemunduran kaum Muslimin dihuraikan. Begitu juga dengan faktor-faktor yang menyumbang kepada lahirnya masalah dalaman ini turut dibahaskan. Modul ini juga menganalisis apakah penyelesaian terbaik bagi masalah-masalah tersebut.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 3)

Modul 4
Ma‘na Agama dan Peranan Wahyu


Modul ini akan menyentuh perbahasan yang meliputi latar belakang pertentangan antara agama dan sekularisme di Barat, sekularisasi agama Kristian dan kekeliruan perbahasan dalam bidang kajian agama dan sains kemasyarakatan, serta isu-isu pemikiran yang berkaitan dengan agama. Selanjutnya mengenai ma‘na agama dalam Islām meliputi semantik istilah al-Dīn, kepentingan Perjanjian Asali (al-mīthāq) sebagai teras agama, faham penyerahan dan penyembahan, penjelmaan agama di peringkat diri insan (‘ālam ṣaghīr) dan di luar (‘ālam kabīr). Akhirnya, mengenai peranan Wahyu, kaitannya dengan Qur’an dan Sunnah, peranan al-Qur’an sebagai Tanzil terakhir, hakikat Kalāmullāh, kesejagatan Rasulullah sebagai rahmat Tuhan dan uswah ḥasanah serta kekeliruan mengenai kedudukan Rasul.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 4)

Modul 5
Ilmu: Faham dan Pembudayaannya

Modul ini bertujuan menghuraikan Faham atau Konsep ‘Ilmu dalam Islām dan terdiri daripada “Hakikat, Sifat dan Piawaian ‘Ilmu” yang meneliti beberapa ayat al-Qur’ān dan Hadith-hadith Nabi berkaitan ‘ilmu; tujuan perolehan ‘ilmu; dan hakikat, sifat serta piawaian ‘ilmu. Kemudian modul ini bakal membincangkan “Saluran dan Lawan ‘Ilmu” kemudiannya menelaah punca ‘ilmu serta saluran-salurannya; hubungan antara ‘ilmu dengan hakikat-kebenaran; perbezaan antara ‘ilmu dan ma‘lumat; kaitan antara ‘ilmu, insan dan Tuhan; serta pelbagai penghalang dan lawan ‘ilmu khususnya, yang terbit tersebar dari Keperibadian dan Tamadun Barat, dahulu dan semasa. Akhir sekali, modul ini akan menyentuh “Pengkelasan dan Pembudayaan ‘Ilmu” pula; menjelaskan pembahagian ‘ilmu kepada pelbagai cabang dan tingkat; adab-adab terhadap ‘ilmu dan ‘ilmuwan; dan pemupukan Budaya ‘Ilmu.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 5)

Modul 6
Alam Semesta Sebagai Ayat-Ayat Allah

Modul ini bertujuan menjelaskan ‘Alam Semesta sebagai Kitab Kejadian (al-kitāb al-takwīnī) dan seterusnya meninjau kesan kefahaman yang sedemikian itu terhadap hala-tuju pelbagai disiplin ‘ilmu dalam Masyarakat Islām, terutamanya Sains Tabi‘i (natural sciences). Erti ‘Ālam, Āyah dan Kitāb akan ditelusuri dan diamati pada lapangan ma‘na (semantic field) berkenaan ‘Alam Semesta yang terbit dari al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang dihuraikan menurut Kerangka ‘Ilmu Islām. Kemudian, jenis Āyat dan Tingkat ‘Ālam akan dihuraikan menuruti kefahaman berkenaan:  ‘Alam sebagai sasaran dan bahan pengetahuan (object of knowledge); ‘Alam Semesta sebagai ‘Alam Besar (macrocosm: al-‘ālam al-kabīr) dalam hubungannya dengan Insan sebagai ‘Alam Kecil (microcosm: al-‘ālam al-ṣaghīr); Barzakh sebagai ‘ālam al-mithāl dan penengah antara Dunia dan Akhirat;  dan ‘Alam Semesta sebagai suatu Kitab yang turut mengandung Āyāt-āyāt Allah yang bersifat muḥkamat dan juga yang bersifat mutashābihat. Selanjutnya, kaedah utama membaca ‘alam pula akan dijelaskan dengan menumpukan kepada pendekatan tafṣīr-ta’wīl sebagai kaedah utama Qur’anī dalam mengkaji dan meneliti ‘Alam Semesta demi untuk mencapai ma‘na dan kefahaman yang benar; dan peranan kefahaman yang sedemikian itu dalam pembasmian pensekularan sebagai ideologi pada dasarnya, dan pensekularan sains sebagai rantaiannya.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 6)

Modul 7
Hakikat Insan dan Kebahagiaan

Modul ini menyentuh persoalan insan dan kebahagiaan dalam Islām. Ia membahaskan pelbagai isu berkaitan hakikat penciptaan dan diri insan. Ia mengupas tentang awal kejadian insan, hakikat keruhanian dan hubungannya dengan jasad. Selanjutnya modul ini akan mengupas kewujudan insan dan matlamatnya. Persoalan tentang cabaran, matlamat dan tanggungjawab insan di dunia dalam kaitannya dengan asal penciptaannya akan diketengahkan. Faham-faham ini dikupas secara perbandingan dengan tradisi psikologi sekular Barat. Modul ini juga akan menyentuh hakikat kebahagiaan insan. Di sini faham kebaikan (virtue) dan kebebasan (freedom) yang semuanya kembali pada diri, sifat, dan perlakuan insan dihuraikan secara yang bertentangan dengan lawannya – iaitu kesengsaraan (al-shaqāwah) yang berkemuncak pada tragedi sebagaimana yang dima‘nai dan dialami dalam Tamadun Barat, baik yang purba mahupun yang moden-sekular. Ma‘na kebahagiaan insan yang Islāmi dikupas sebagai asas penilai terhadap pelbagai faham kebahagiaan selainnya.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 7)

Modul 8
Ta’dib sebagai Faham Pendidikan Islām

Modul ini mencakup perbincangan mengenai cabaran dan kepincangan sistem pendidikan sekular yang gagal menghasilkan persediaan yang mencukupi bagi seseorang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang insan, berlakunya kejatuhan pada martabat keinsanan, tidak menekankan soal adab dan budi-pekerti. Selanjutnya modul ini akan mengemukakan takrifan dan matlamat utama pendidikan dalam Islām yang menjadikan seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah sebagai Tuhannya Yang Sebenar, memahami dan melaksanakan tanggungjawabnya kepada dirinya sendiri dengan adil, dan berusaha untuk mengislahkan keadaan hidup masyarakat sehingga masyarakat itu akhirnya tahu membezakan antara perbuatan dan kelakuan yang baik dengan yang buruk. Justeru itu, modul ini akan menyimpulkan elemen-elemen teras dalam konsep pendidikan Islām yang mencakup ‘ilmu farḍ ‘ayn dan ‘ilmu farḍ kifayah; hikmah, adab, dan ‘adil, hakikat insan dan budi-pekerti.

Cadangan Bahan Bacaan (Modul 8)

0 Cart
0 Add all flipped products to cart Flipped