Forum Pengenalan kepada Projek Penubuhan Institut Ta’dib
19 April 2022 | 17 Ramadan 1443H
Menampilkan
1) Prof. Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Pengerusi AJK Penaja
2) Tn Haji Mohamad Farid Jaafar, Pengerusi AJK Pengurusan
3) Dr. Muhammad Ikhwan Azlan, AJK Akademik (Moderator)
Raqaman Saranan Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Penyandang Kursi Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pemikiran Islam RZS-CASIS
------------------
Ringkasan Program:
Universiti seperti al-Mustansiriyyah dan Nizamiyyah di Baghdad, al-Qarawiyyin di Fez, Zaytunah di Tunis, dan al-Azhar di Mesir adalah mercu tanda keunggulan ekosistem pendidikan dan penyelidikan dalam Tamadun Islam. Institusi-institusi pendidikan tinggi ini beroperasi menerusi ekosistem kewangan yang kukuh dan lestari berabad-abad lamanya.
Namun, akibat kepentingan kebendaan dan politik berpuak-puak diletakkan lebih tinggi mengatasi kepentingan ilmu dan keilmuan maka kegemilangan institusi-institusi agung ini akhirnya hilang, malah ada yang langsung hilang ditelan zaman. Hal ini disebutkan sebagai keruntuhan adab dan jika ditilik pada zaman kini, nescaya kita akan temukan hal yang serupa. Umat Islam kini dilanda dengan pelbagai cabaran pemikiran dan budaya yang datang menerusi rencana serangan sekularisasi pemikiran sehinggakan tidak sedikit di kalangan kita yang menjadi keliru, hilang punca dan arah tuju.
Namun kita bukanlah umat yang terbiasa dengan putus-asa. Keberadaan para ulama dan ilmuwan sejati dalam kalangan umat hari ini perlu dikenalpasti, dii‘tiraf dan dimanfa‘atkan selayaknya. Tidak lain tidak bukan pengenalpastian, pengi‘tirafan dan pemanfa‘atan itu dapat dilaksanakan dalam jaringan program pendidikan, penyelidikan dan penerbitan yang bersepadu dan strategik dalam satu ekosistem yang lestari dan saksama.
Atas kesedaran dan keinsafan inilah, tercetusnya iktiyar-usaha untuk menubuhkan sebuah pusat pendidikan lestari yang dinamakan Institut Ta’dib. Institut ini bercita-cita untuk menjadi institut pendidikan peringkat tinggi yang menggerakkan budaya ‘ilmu dalam rencana pembinaan pemikiran dan tamadun Islam yang unggul. Istimewanya, Institut Ta’dib bakal menerapkan gagasan falsafah dan tradisi amalan pendidikan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tokoh besar ‘ilmuwan Islam masa kini.
Ikuti forum Pengenalan Kepada Penubuhan Institut Ta’dib yang bakal diisi oleh penubuh dan penggerak utamanya. Ketahui bagaimanakah Institut Ta’dib ini bakal dibentuk, apakah kandungan utama mata kuliah, siapakah kekuatan barisan sarjana, dari manakah tradisi dan pengalaman serta apakah jaringan ekosistem sokongannya. Ketahui juga bagaimana anda boleh terlibat bersama-sama menyumbang kepada penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi mandiri dan lestari ini.